Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengulas mengenai tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Khairy atau lebih mesra disapa KJ itu berkata, perlembagaan UMNO sendiri telah menetapkan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.
Maka dengan itu KJ berkata, UMNO
perlu mengambil tindakan pembetulan (corrective measure) dengan melaksanakan semula pemilihan jawatan bagi Presiden dan Timbalan Presiden parti.
KJ turut mempersoalkan satu surat mengenai keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkait usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.
Beliau yang yang dipecat sebelum ini menegaskan, jika surat yang tular itu benar, bermakna usul dibawa perwakilan Negeri Sembilan ketika PAU lalu adalah tidak sah.
“Jika surat ini betul (surat), usul PAU UMNO yang dibawa oleh UMNO Rembau (bahagian Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk melindungi Presiden dan Timbalan Presiden dari pertandingan adalah tidak sah.
“Dalam surat tersebut, bos RoS yang mengawal selia semua pertubuhan termasuk parti politik di Malaysia dengan jelas menulis berdasarkan semakan pada maklumat dan dokumentasi yang dikemukakan bersama surat UMNO bertarikh 27 Januari, 28 Februari, dan 14 Februari 2023.
“Jabatan (RoS) ini telah mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agong UMNO 2022 tersebut adalah tidak teratur, serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.
“Tetapi tindakan tindak sah ini mendapat pengecualian daripada Menteri Dalam Negeri,” katanya dalam Instagram (IG) storynya malam tadi (Selasa).
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin.
Susulan daripada itu, dua ahli UMNO pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 itu.
Ulas bekas Menteri Kesihatan itu, surat tersebut menyatakan bahawa jawatan-jawatan utama termasuk Presiden dan Timbalan Presiden tidak boleh dikecualikan dari pertandingan.
Menurutnya, ia juga bermakna bahawa usul yang menghalang supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan itu tidak sah.
“Jadi ibu pejabat dan barisan ‘apologist’ kepada Presiden UMNO hendak kata apa lagi? Ahli UMNO dan perwakilan telah dinafikan hak mereka untuk memilih Presiden dan Timbalan Presiden,” ujarnya. – JURNAL