Pemain sayap negara, Mohamad Faisal Abdul Halim tidak mahu memikirkan kritikan yang dilemparkan kepada pasukan Harimau Malaya selepas persembahan kurang memuaskan dipamerkan di pentas Piala Asia Qatar 2023.
Menurutnya, kritikan itu adalah perkara biasa dalam bola sepak dan dia turut mengharapkan rakan sepasukannya juga tidak terlalu tertekan dengan kritikan tersebut.
“Saya rasa kritikan ini perkara biasa. Apabila kita menang semua ok, semua bagus, tetapi kalau kalah, macam-macam…lebih ramai jurulatih di luar sana.
“Kita kena terima apa sahaja yang orang nak kata. Mereka ada hak untuk menilai dan beri pendapat, tetapi mereka tiada hak untuk buat keputusan.
“Saya harap semua rakan-rakan saya dapat mengatasi kritikan tersebut,” katanya.
Harimau Malaya mempamerkan aksi positif dalam tempoh dua tahun di bawah kendalian Kim Pan-gon apabila berjaya tampil cemerlang dalam perlawanan persahabatan dan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Namun, di pentas Piala Asia, skuad negara tewas kepada Jordan 0-4 dan Bahrain (0-1) dalam aksi kumpulan E dan menutup peluang mereka untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Ia sekali gus mengundang kritikan daripada peminat yang sebelum ini meletakkan harapan tinggi untuk skuad negara melakar keputusan positif selepas kali pertama layak secara merit sejak 43 tahun lalu.
Dalam pada itu, Mohamad Faisal tetap yakin Harimau Malaya tetap mampu menghadirkan tentang sengit kepada Korea Selatan walaupun sedar pasukan itu berada pada tahap yang berbeza.
“Apa jadi sekali pun dengan Korea Selatan ini kita kena bagi yang terbaik. Takkan kita nak balik dengan gol yang banyak.
“Sekurangnya kita buat lebih bagus dan beri dua atau tiga kali ganda lebih menentang mereka,” katanya. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN