Seorang wanita dipercayai kakak kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah ditahan bagi membantu siasatan kes berhubung laporan dibuat terhadapnya kerana didakwa melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penahanan dibuat susulan laporan dibuat seorang wanita pada Khamis lalu.
“Laporan polis itu dibuat seorang wanita menyatakan gambar anaknya berusia empat tahun yang merupakan saksi pendakwaan bersabit satu kes pembunuhan di Batu Pahat telah disebarkan melalui siaran langsung di aplikasi TikTok.
“Susulan itu, sekitar jam 2.10 pagi, Rabu, polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun semasa tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat siaran langsung TikTok tersebut bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Nenurut Ismail, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan reman selama sehari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.
Sementara itu, suspek dilihat hadir bersama peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan dan beberapa ahli keluarga termasuk suaminya.
Isnin lalu, wanita dilaporkan media sebagai berkata, ketika ini hanya tulang belakang dan tangan jasad adiknya yang belum ditemui. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN