Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, memohon maaf susulan kenyataannya berhubung Menu Rahmah, didakwa mengelirukan Dewan Rakyat, kira-kira dua minggu lalu.
Dr Halimah yang juga Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), itu bagaimanapun ‘mencuit’ Dewan Rakyat apabila membuat permohonan maaf terbabit dalam bentuk gurindam, selepas menyatakan ucapannya itu disalah erti.
“Jikalau ada jarum peniti, jangan disimpan di dalam peti, andai ada ucapan disalah erti, saya menyusun 10 jari, niat di hati suara rakyat saya juarai semak imbang Kerajaan MADANI, biar integriti, bukankah itu peranan hakiki.
“Selaku wakil rakyat suara rakyat yang diwakili sudi kiranya rujuk penyata rasmi mukasurat 134 hingga 137 pada 14 Februari,” katanya di Dewan Rakyat, di sini.
Minggu lalu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) membuat permohonan mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), susulan kenyataan yang dibuat Dr Halimah ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja kerana didakwa mengaitkan Menu Rahmah dengan beberapa penyakit terutamanya kanser, autoimmune (diseases) dan autisme.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata permohonan maaf itu dibuat Dr Halimah, selepas persetujuan bersama dicapai sebelum ini.
“Saya menerima permohonan dari Bandar Kuching untuk meminta penjelasan dari YB (Yang Berhormat) Kapar dan saya menjemput YB Kapar ke bilik saya dan ada persetujuan antara saya dan YB Kapar membacakan kenyataan yang dipersetujui,” katanya.
Berdasarkan penyata rasmi Dewan Rakyat, Dr Halimah menyatakan ‘saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa, tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang ‘low quality’ (berkualiti rendah) dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, ‘autoimmune disease’, kepada autisme dan sebagainya.
Minggu lalu, isu Menu Rahmah mencetuskan kekecohan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, selepas Dr Halimah Ali menafikan beliau mengeluarkan kenyataan menu itu menyebabkan kanser.
Kekecohan bermula apabila Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mencelah perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) dengan menyatakan kenyataan dibuat Dr Halimah mengenai Menu Rahmah tidak benar. – JURNAL
Sumber: BHOnline