Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kabinet hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri dalam kenyataan media, berkata ia bagi menyelesaikan isu kalimah ‘Allah’ secara menyeluruh dan bersepadu.
Katanya, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.
Perdana Menteri memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini membincangkan mengenai keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.
“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada 2014.
“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023, yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak kelmarin, pelbagai pihak terus mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan berhubung tindakan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan, keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill itu disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.
Katanya, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE