Tindakan seorang jurulatih bola sepak mengugut adik ipar lelaki berkaitan perselisihan faham di kediaman keluarganya di Taman Cheras Indah, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.
Mangsa berusia 31 tahun itu pada mulanya datang ke kediaman keluarga mentuanya jam 2 pagi Selasa lalu namun berlaku perselisihan dengan abang iparnya berusia 41 tahun itu.
Suspek turut bertindak mengugut mangsa dengan pisau menyebabkan dia yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bertindak atas maklumat kes ugutan jenayah di sebuah rumah di Taman Cheras Indah, di sini, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas suspek di kediaman terbabit.
Menurutnya, punca kejadian adalah perselisihan faham dalam keluarga.
“Pihak polis juga sudah merampas beberapa barang kes disyaki digunakan dalam kes ini.
“Semakan rekod jenayah lampau dapati suspek mempunyai satu rekod jenayah tidak dikehendaki.
“Ujian saringan awal air kencing juga dapati negatif di mana suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali. – JURNAL
Sumber: Harian Metro