Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa Jurucakap parti dalam Perikatan Nasional (PN), Mok Kok On membuat permohonan maaf.
Ia susulan daripada jurucakap daripada Parti Gerakan itu yang telah menggesa kerajaan untuk mengurangkan bilangan kakitangan awam yang dianggap beban kepada negara.
“Ada ramai penjawat awam yang tinggal di kawasan Parlimen Bangi. Sebagai MP Bangi, saya bantah kenyataan jurucakap PN ini,” ciap Syahredzan di Twitternya, hari ini.
Bagaimanapun kata Syahredzan, Mok Kok On telah memadam posting yang ditulisnya kerana telah menimbulkan kemarahan.
“Posting ini sudah dipadam, mungkin sebab menimbulkan kemarahan. Ada ramai penjawat awam tinggal di kawasan Parlimen Bangi.
“Saya membantah kenyataan ini yang langsung tidak membantu dan hanga mampu mengguris hati penjawat awam.
“Permohonan maaf juga harus dibuat,” katanya.
Ciapan Syahredzan juga telah diulang kicau oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Terdahulu, Mok Kok On menerusi posting di laman sosial Facebook Gerakan Penang, mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal selepas membuat keputusan untuk menambah bilangan kakitangan penjawat awam.
Jurucakap Gerakan DUN Sungai Pinang, itu turut mendakwa penjawat awam sedia ada adalah beban buat negara dan kerajaan sepatutnya mengecilkan saiz perkhidmatan awam.
Beliau berkata, dalam menangani gaji penjawat awam dan pencen yang besar, sudah tiba masanya untuk Anwar menambah hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan – dengan mengurangkan penjawat awam dan hutang luar negara.
“Penjawat awam merupakan beban kepada negara. Tambahan pula, hutang luar negara terus meningkat dan rizab tukaran asing kita semakin jatuh. Kerajaan pimpinan Anwar mesti melihat fakta ini dengan jelas,” katanya. – JURNAL