Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menganggap penjualan semula tiket Konsert Coldplay Music of the Spheres World Tour dengan harga yang tinggi perbuatan melampau.
Perkara tersebut mendapat perhatian Fahmi yang membuat ciapan tentang isu ‘ulat tiket’ ini di laman sosial Twitternya.
Menurut Fahmi, beliau bakal membangkitkan isu tersebut ke Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Ini keterlaluan-isu tiket bawah KPDN. InsyaAllah saya bangkit dengan Datuk Salahuddin Ayub,” ciap Fahmi.
Ini keterlaluan – isu tiket di bawah @KPDN_HQ . InsyaAllah saya bangkit dgn @MyDSA_official https://t.co/J88h3bAEUZ
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) May 17, 2023
Terdahulu seorang individu tular selepas bertindak menjual tiket konsert siri jelajah kumpulan rock popular dari Britain
yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur November nanti dengan harga mencecah RM43,200.
Difahamkan, tiket tersebut bagi tempat duduk di kategori 1 di mana harga asal yang dijual di laman web rasmi Go Live-Asia ialah hanya RM1,288.
Menurut individu yang menjual tiket tersebut, ia dijual kepada orang berkemampuan sahaja dan pertukaran dengan motosikal adalah tidak diterima.
Tinjauan di media sosial juga mendapati rata-rata meluahkan kekesalan dengan individu yang tidak bertanggungjawab ini.
“‘Sold out’ semua. Terima kasih ‘scammers’ dan ‘scalpers’! Aku harap, kamu semua mereput dalam neraka,” tulis satu pengguna Twitter.
“Hari ini tiket pra-jualan di Kuala Lumpur: Laman web ‘crashed’, tiket habis dijual, ‘scalpers’ jual semula dengan harga dua kali ganda, peminat sejati tak dapat peluang untuk lawan ‘reseller’ (penjual semula tiket).
“Jualan untuk umum nanti akan lebih parah! Tolong adakan persembahan kedua,” tulis satu pengguna Twitter lain, membalas ciapan dari akaun Twitter Coldplay. – JURNAL