Pernah anda terfikir membeli ikan segar di Kuala Lumpur dan kemudian dihantar kepada keluarga di Kelantan?
Ia mungkin kedengaran agak pelik memandangkan setiap kawasan penempatan pasti ada pasar tetapi dalam bisnes tiada apa yang mustahil untuk dijadikan bahan jualan.
Pengalaman menarik tersebut dikongsi pasangan suami isteri iaitu Muhammad Fathullah Mumtaz Ahmad bersama Nur Diyana Mazlan yang mengusakan perniagaan dikenali Barang Dapur Basah.
Menurutnya, bisnes yang diusahakan sejak penghujung tahun 2015 sehingga kini meraih sambutan begitu menggalakkan daripada pelanggan yang gemar membeli pelbagai barang basah menerusi dalam talian.
“Pada awalnya, isteri saya baru habis pengajian sarjana dan pelan asal nak sambung belajar di luar negara. Ketika itu biasiswa dihentikan dan kami berusaha mencari pendapatan sampingan.
“Kemudian isteri ternampak satu video di media sosial mengenai keluhan orang yang masak untuk mendapatkan bahan mentah segar. Dari situ kami dapat idea dan mulakan bisnes Barang Dapur Basah,” katanya.
Akuinya, dua minggu di awal bisnes dia dan isteri menerima pandangan skeptikal daripada orang ramai yang mempersoal sama ada bahan mentah seperti ikan dan ayam yang dijual segar atau sebaliknya.
“Masa itu kami jual ikan dan ayam. Kawan-kawan banyak bagi sokongan dan dari situ promosi mulut ke mulut sehingga bisnes kami menjadi tular kemudian dijemput ke program Nona (TV3) dan ditemu bual pelbagai akhbar.
“Menerusi publisiti di media, orang mula kenal bisnes kami yang berbeza dengan bisnes orang lain. Bukan setakat menjual ikan dan ayam segar, kami juga cuba menjual benda lain seperi bawang, halia dan lengkuas yang sudah dikisar, jadi pelanggan mempunyai banyak pilihan,” katanya.
Tambahnya, mereka juga menjual barang ‘Ready to Cook’ seperti ayam perap, ikan cencaru sumbat, ikan bakar dan lauk yang dibekukan.
“Sejak tahun lepas kami juga memperkenalkan jualan ‘Ready to Eat’ iaitu bahan yang sudah dimasak seperti dendeng yang sudah terjual 200,000 stok termasuk kari ayam dan kari daging di mana semua bahan ini dibuat sendiri.
“Kami menjual produk-produk ini ke seluruh Semenanjung. Kami guna ‘rider’ sendiri dan juga menghantar dengan menggunakan lori untuk perjalanan jauh bagi produk sejuk beku,” katanya.
Ujarnya, dia dan isteri memilih bahan mentah yang segar untuk dijual kepada pelanggan.
“Kami tidak simpan stok. Sebelum ini kami guna peti sejuk untuk simpan susu anak tetapi barang basah juga disimpan dalam sejuk beku.
“Kami membeli barang berdasarkan tempahan sahaja. Dulu ketika mula berniaga, saya berkerja sebagai jurutera, jam 6 pagi saya sudah berada di pasar borong untuk membeli barang basah dan kini saya dan isteri mengusahakan bisnes ini sepenuh masa sejak tahun 2017,” katanya.
Tambah Muhammad Fathullah, sambutan diterima daripada pelanggan sehingga kini cukup menggalakkan.
“Alhamdulillah, jika dulu hanya kami berdua kemudian pada tahun 2018 ada 8 staf dan sekarang ada 37 staf.
“Permintaan pelanggan memang banyak. Ramai juga gologan muda yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi membuat pesanan barang basah untuk mak dan ayah di kampung yang tinggal seperti di Kelantan dan Johor.
“Sebenarnya ikan yang dibeli dari luar Kuala Lumpur lebih mahal daripada sini. Kami juga ‘top seller’ di TikTok dan Shopee dan biasanya masa penghantaran mengambil masa maksimum selama 3 hari,” katanya.
Jelasnya, pada zaman kini pelanggan lebih mudah dan selesa membeli pelbagai barang masak atau keperluan lain menerusi dalam talian.
“Sebenarnya ketika mula kami berniaga, saya tidak pernah pinjam duit. Kami jual hari ini dan masa 3 hari dapat duit.
“Kami tak nampak keperluan untuk meminjam sehingga pada tahun lalu apabila kami banyak sertai program secara fizikal, baru kami dapat kesedaran bahawa bisnes kami lebih dikenali menerusi dalam talian bukan secara fizikal.
“Dari situ, kami berjumpa dengan orang ramai menerusi acara fizikal. Kami merancang untuk membuka kilang dan kami juga tertarik dengan pelbagai tawaran dana mahupun pinjaman yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Kami berpandangan tawaran dana dan pinjaman yang disediakan KUSKOP cukup menarik dan apa salah kami cuba memohon. Sebelum ini kami sendiri tidak tahu apa pinjaman daripada KUSKOP dan ini membuka mata buat kami yntuk mengembangkan bisnes ke hadapan,” katanya. – JURNAL