Satu kerjasama telah dibentuk antara Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama KRU MasterClass untuk merealisasikan program KRU AfterClass.
Program ini bertujuan untuk menerapkan ilmu dan nilai keusahawanan dikalangan murid secara maya selama 2 jam di peringkat sekolah menengah seterusnya menjadikannya sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum sekolah.
Program ini mensasarkan penglibatan murid berumur 15 hingga 17 tahun dengan mengetengahkan modul “Social Commerce”.
Ia bertujuan untuk membuka peluang kepada golongan remaja menceburi industri e-dagang sebagai pempengaruh pada jangka pendek dan sebagai usahawan dalam jangka panjang.
Semalam (Jumaat), telah berlangsungnya sesi KRU AfterClass Social Commerce bersama Sekolah Menengah Kebangsaan St. Gabriel dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn.
Sesi berikutnya bersama sekolah-sekolah yang lain di seluruh Kuala Lumpur.
Dato’ Norman Abdul Halim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU berkata, populariti platform media sosial di kalangan pengguna dan di tambah dengan kemudahan membeli-belah dalam talian telah mewujudkan ekosistem yang baik untuk perniagaan berkembang maju dalam ekonomi digital masa kini.
“Oleh itu, melalui program AfterClass ini murid akan mempelajari proses untuk menyediakan strategi, mengembangkan pengikut berdasarkan algoritma platform dan menjana hasil melalui akaun media sosial dengan pemahaman asas tentang pemasaran digital khususnya di TikTok, Instagram dan Facebook,” katanya.
Sementara itu Pengarah Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Hajah Norhayati Ab Wahab pula berkata, program ini salah satu usaha yang terbaik untuk mendedahkan latihan kemahiran asas yang bermanfaat bagi golongan murid untuk membudayakan inovasi dan menanam ciri-ciri keusahawan di usia muda.
“JPWPKL sentiasa menggalakkan program-program seperti ini kerana nilai tambah kepada aktiviti murid dalam penggunaan media sosial yang lebih baik,” katanya. – JURNAL