Tindakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) meminta Josh Brownhill memperjelaskan status kewarganegaraannya mendapat pujian ramai.
Kapten Burnley berusia 29 tahun itu akhirnya mengesahkan tiada sebarang pertalian darah dengan Malaysia seperti yang disangka sesetengah pihak sebelum ini.
Menerusi catatan di Instagram Story miliknya, Brownhill menjelaskan bahawa dia hanya memiliki kewarganegaraan Inggeris.
“Hanya ingin memperjelaskan situasi mengenai beberapa khabar angin yang tersebar. Malangnya, saya hanya memiliki satu kewarganegaraan iaitu Inggeris dan bukan warga Malaysia seperti yang difikirkan sesetengah orang.
“Saya tidak pasti bagaimana semua ini bermula tetapi saya mahu menjelaskannya. Namun, terima kasih atas sokongan tidak terkira,” katanya.
Sebelum ini, TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkongsi perbualannya dengan Brownhill, meminta pemain itu memberikan penjelasan sebenar berkenaan dakwaan tersebut.
Dengan kenyataan Brownhill, teka-teki peminat yang mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memikatnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya kini terjawab sepenuhnya. – JURNAL