Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo sempat bertanya tentang keperluan yang menjadi keutamaan peserta America’s Got Talent (AGT) dari Yogyakarta, Putri Ariani, ketika pertemuan mereka baru-baru ini.
Pertanyaan tersebut selepas Ariani memberitahu Jokowi, telefon bimbitnya gagal berfungsi kerana terlalu banyak notifikasi yang masuk.
“Telefon bimbit saya tidak boleh digunakan lagi kerana dulu notifikasi yang diterima tidak banyak, kalau banyak sekalipun sekitar 1,000 hingga 2,000 sahaja,” cerita Putri Ariani saat bertemu Jokowi di Istana Merdeka pada Rabu lalu.
Usai menjelaskan situasi itu, Jokowi bertanya pada Putri Ariani: “Sekarang?”
“Alhamdulillah sekarang 10 juta lebih… makanya mati telefon bimbit” jawab Putri Ariani.
Kesemua notifikasi itu diterima Putri Ariani melalui akaun media sosialnya.
Pada akhir pertemuan, Presiden Jokowi turut bertanya kepada Putri Ariani apa lagi keperluan yang belum dipenuhi selain adakah mendapatkan telefon bimbit baharu turut menjadi keutamaan ketika ini.
Namun, bagi Putri Ariani, apa yang paling utama diharapkan daripada pemimpin tertinggi Indonesia itu ialan sokongan tidak berbelah baginya.
Remaja berusia 17 tahun itu yang ditemani ibu dan bapanya dalam pertemuan tersebut, turut membawa bersama Golden Buzzer yang diterimanya.
Semasa uji bakat musim ke-18 di Amerika Syarikat minggu lalu, Putri Ariani yang mempersembahkan lagunya sendiri berjudul Loneliness, mengagumkan para juri dan penonton sekali gus memenangi Golden Buzzer.
Dia bakal kembali ke A.S, Ogos depan bagi menyambung perjuangan dalam pertandingan tersebut.
Jokowi turut menjemput Putri Ariani ke sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos jika ia tidak mengganggu persiapannya.
Putri Ariani berterima kasih atas sokongan Jokowi serta wang saku yang diberikan bagi meringankan beban perbelanjaan semasa menyertai pertandingan itu nanti.
Dia turut menyanyikan dua lagu ciptaan sendiri berjudul Loneliness dan Permata Indah Dunia sambil bermain piano di hadapan Jokowi. – JURNAL