Kerajaan Johor sedang mempertimbangkan perubahan waktu bekerja bagi sektor awam kepada empat hari setengah seminggu, selaras dengan pelaksanaan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata langkah itu bertujuan meningkatkan produktiviti dan memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan berjalan lancar, Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan ini tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.
“Namun, ia memerlukan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025, di Bangunan Sultan Ismail, Khamis lalu.
Kerajaan Johor sedang giat mempertingkatkan perkhidmatan dengan menambah lebih banyak urusan secara dalam talian.
“Selain itu, waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal akan dilanjutkan, termasuk pada waktu rehat antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang. Penyeragaman waktu operasi di semua jabatan dan agensi kerajaan juga akan dilaksanakan,” tambah Onn Hafiz.
Cadangan ini mendapat inspirasi daripada kejayaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mula melaksanakan sistem kerja empat hari setengah seminggu sejak Januari 2022.
Di UAE, waktu kerja bermula jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang pada Isnin hingga Khamis, manakala pada Jumaat, waktu bekerja tamat jam 12 tengah hari. Mereka juga diberi pilihan bekerja dari rumah pada hari Jumaat dengan jadual yang fleksibel. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian