Tindakan pantas beberapa guru berjaya menyelamatkan lebih 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, Semporna daripada lemas apabila jeti di Kampung Pulau Pababag, runtuh pagi tadi.
Rakaman video itu tular di media sosial memaparkan murid yang lengkap berpakaian sekolah terjatuh ke dalam laut.
Beberapa guru yang turut berada di jeti kemudian terjun menyelamatkan murid-murid berkenaan.
Di media sosial, rata-rata warganet memuji tindakan pantas guru-guru tersebut menyelamatkan kesemua kanak-kanak terlibat.
“Ya Allah, nasib baik ada cikgu-cikgu ni semua. Kesiannya dengar budak-budak ni menangis.
“Terima kasih cikgu! Pengorbananmu memang tak akan dapat dibalas.”
“Terima kasih cikgu. Diharap kejadian ini dapat membuka mata semua pihak banyak infrastruktur di sebelah Sabah dan Sarawak perlukan perhatian, termasuk kawan pedalaman.”
Antara komen-komen yang ditinggalkan warganet.
Ketua Umno Bahagian Semporna, Abdul Manan Indanan berkata, semua murid dan guru selamat.
Katanya, kejadian itu berlaku pagi tadi membabitkan murid dan penduduk kampung.
“Guru-guru yang turut berada di kawasan itu kemudian terjun menyelamatkan murid mereka.
“Alhamdulillah, semua murid dan guru selamat,” katanya ketika ditemui Bangunan Umno Sabah, pada Isnin.
Abdul Manan berkata, beliau sudah memaklumkan kejadian itu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri berkaitan.
“Alhamdulillah kebetulan Timbalan Perdana Menteri datang ke Sabah, jadi kami kemukakan video kejadian itu supaya peruntukan segera diberikan.
“Beliau (Timbalan Perdana Menteri) setuju supaya jambatan dan jeti dibina secepat mungkin,” katanya. – JURNAL