Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang melanda negara ketika ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, surat dihantar kepada rakan sejawatnya, sebagai tindakan terhadap isu jerebu.
Katanya, ia juga susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian menangani isu berkenaan dengan mengkoordinasi langkah dengan rakan sejawat dalam ASEAN termasuk Indonesia.
“Kita sudah pun menghantar surat kepada menteri sejawat saya mengenai masalah itu seperti mana disebut Perdana Menteri semalam,” katanya kepada pemberita selepas Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM), pada Rabu.
Sebelum ini, Indonesia menafikan dakwaan bahawa jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di negara berkenaan.
Namun, Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengesan 2,203 titik panas di sekitar Kalimantan berbanding hanya empat di Sarawak dalam tempoh 20 hingga 28 September lalu, sekali gus menunjukkan jerebu di Sarawak berpunca dari negara jiran.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, semua negara ASEAN termasuk Indonesia sudah meratifikasi Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ATHP) sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia menubuhkan panel penasihat dan perundingan untuk mendapatkan maklum balas mengenai suara negara dalam aspek perubahan iklim, bagi dibawa ke konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28) di Dubai, November ini.
“Kita juga ada melancarkan Pavilion COP28 untuk kita pamerkan segala yang Malaysia lakukan dalam menangani perubahan iklim.
“Selain itu, pandangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan kerajaan, pihak akademi, badan bukan kerajaan (NGO) dan anak muda melalui panel penasihat dan perundingan turut kita masukkan dalam Pavilion ini,” katanya.
Mengenai IGEM, Nik Nazmi berkata, acara yang memasuki tahun ke-14 itu menyasarkan peluang perniagaan bernilai RM4 bilion melalui lebih 400 peserta pameran.
Selain itu lebih 40,000 pengunjung dari 40 negara disasar hadir. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO