Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, meluahkan rasa puas hati dengan persembahan empat pemain import baharu pasukannya ketika mereka mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Bidoglio menyatakan kehadiran pemain-pemain import tersebut, yang mula menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua sejak 26 Ogos lalu, menjadikan Harimau Selatan semakin mantap dan mampu memberikan impak positif dalam saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Jorge (Obregon) menunjukkan ketajaman sebagai penyerang dengan menjaringkan dua gol, selain terus memberi tekanan kepada pertahanan lawan yang terpaksa bekerja keras untuk menyekat pergerakannya.
“Di bahagian tengah, Iker (Undabarrarena) dan Enzo (Lombardo) memainkan peranan penting dalam menjana serangan serta membentuk kerjasama yang baik. Manakala, Eddy (Israfilov) beraksi dengan tenang di posisi pertahanan,” kata Bidoglio.
Beliau turut mengakui bahawa pasukannya semakin serasi dengan corak permainan pantas yang memberi tekanan kepada benteng lawan melalui gerakan di sayap kiri dan kanan.
Namun, masih ada ruang untuk pemain baharu memahami falsafah bola sepak JDT dengan lebih mendalam.
Mengenai corak permainan Penang FC yang lebih defensif, Bidoglio enggan mengulas lanjut mengenai taktikal yang dipraktikkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Beliau hanya menyatakan bahawa pendekatan lawan yang ‘berkampung’ di kawasan pertahanan mereka menyukarkan JDT untuk membuka ruang, namun pemainnya berjaya mengatasinya.
“Walaupun sukar, pemain kami tetap berusaha memecah benteng lawan. Arif (Aiman Hanapi) dan Oscar (Arribas) beraksi cemerlang di sayap kiri dan kanan, dan kami terus memberi tekanan sepanjang perlawanan.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi pasukan, tetapi kami akan tetap memperbaiki sebarang kelemahan untuk persediaan aksi seterusnya,” tambahnya. – JURNAL
Sumber: Berita Harian