Orang ramai terus meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkaitan isu waktu daftar masuk hotel dan inap desa yang ditetapkan pada jam 4 petang.
MOTAC sebelum ini hanya menasihati orang awam agar memahami terma dan syarat tempahan yang ditetapkan oleh pihak hotel bagi mengelakkan kekeliruan atau rasa tidak puas hati mengenai harga dan perkhidmatan.
Namun, kenyataan itu tidak memuaskan hati pengguna yang mengharapkan tindakan lebih tegas.
Tinjauan di laman Facebook rasmi MOTAC mendapati ramai yang meluahkan kekecewaan di ruangan komen kerana tiada tindakan tegas diambil bagi menangani isu ini.
“Kenyataan macam jaga sebelah pihak je,” komen Dian EE Isma.
“Tolonglah bertegas. Kalau jawapannya setakat ini, bubarkan sahaja kementerian. Tak ada faedah untuk rakyat Malaysia,” kata Awan Biru dengan nada sinis.
“Nampaknya keluhan pelanggan tidak diambil peduli kerajaan,” ujar Shahril Awang pula.
Isu ini mula tular apabila beberapa hotel dan inap desa menetapkan waktu daftar masuk seawal 4 petang dan keluar pada 11 pagi, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pelanggan yang menganggap tempoh penginapan terlalu singkat.
Lebih mengecewakan, sesetengah premis mengenakan caj tambahan untuk daftar keluar lewat, walaupun pelanggan terpaksa menunggu bilik disediakan.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel, turut menjelaskan bahawa pemilik hotel bebas menetapkan masa daftar masuk kerana tiada peraturan undang-undang perhotelan yang menetapkan perkara tersebut.
Polemik ini masih berlanjutan, dan ramai berharap MOTAC tampil dengan penyelesaian yang lebih adil bagi melindungi kepentingan pengguna. – JURNAL