Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, tidak dapat menyembunyikan rasa sebaknya selepas gagal membawa pulang pingat dalam acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.
Impiannya untuk menggenggam pingat, sekaligus merealisasikan janji membawa ibunya menunaikan umrah, tidak kesampaian.
Menerusi temuramah bersama Astro Arena, kekecewaan tidak dapat membawa pulang emas boleh dianggap berganda memandangkan dia sudah berjanji untuk membawa ibunya menunaikan umrah sekiranya meraih kemenangan pada acara keirin di Paris itu.
Dalam perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Saint Quentin en Yveline, Shah Firdaus mempamerkan prestasi cemerlang dan semangat juang yang tinggi.
“Saya minta maaf pada rakyat Malaysia. Sebenarnya saya dah janji dengan mak saya, kalau saya menang, saya nak bawa dia pergi umrah. Allah tahu apa yang lebih baik untuk saya.
“Saya sudah nampak pingat di depan saya. Kaki dan badan saya berada dalam keadaan yang terbaik sejak dari semalam. Saya sudah berada dalam zon saya dan saya tahu saya boleh tewaskan pencabar saya,” ujarnya.
Pada satu ketika, dia dilihat berpeluang meraih sekurang-kurangnya gangsa.
Namun, nasib malang menimpanya apabila dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano, yang mengakibatkan Shah Firdaus terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan dan akhirnya dia diklasifikasi di kedudukan keenam.
Kegagalan ini memberikan tamparan hebat buat Shah Fidaus, yang mengakui dirinya berada dalam keadaan terbaik untuk meraih pingat.
“Tetapi macam yang saya cakap, inilah keirin dan apa sahaja boleh terjadi. Jadi ini bukan masanya untuk saya salahkan siapa-siapa. Boleh awak bayangkan pelumba terakhir boleh dapat pingat gangsa?
“Saya memang dah ada dekat situ (pingat gangsa), jadi saya perlu ambil masa untuk masa untuk menghadam benda ini dan ia tidak mudah,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.
Meskipun sedih dan kecewa, Shah Firdaus akan mengambil masa untuk menerima hakikat dan berserah kepada ketentuan Ilahi. – JURNAL
Sumber: Berita Harian