Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menegur sikap sesetengah peminjam yang gagal melunaskan pinjaman tetapi masih memperagakan gaya hidup mewah. Teguran itu dibuat susulan laporan mengenai tindakan MARA menyerbu kediaman pelakon terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta, yang didakwa gagal membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.
“Jangan pula ada masalah atau sengaja cari masalah untuk tidak bayar pinjaman, tetapi dalam masa sama memperagakan kemewahan. Ini saya rasa tidak adil bagi semua pihak,” kata Asyraf Wajdi.
Menurut beliau, MARA sentiasa bersikap ihsan terhadap peminjam yang menghadapi kesukaran dan bersedia berunding untuk penjadualan atau penstrukturan hutang tanpa mengenakan caj tambahan.
Namun, tegasnya, tindakan tegas seperti membawa kes ke mahkamah adalah langkah terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikembalikan dan digunakan untuk manfaat umum.
“MARA tidak pernah memilih bulu. Kami mengambil pendekatan berunding terlebih dahulu. Tapi jika ada yang sengaja tidak mahu bayar, ini tidak adil,” jelasnya.
Pendedahan ini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan ramai bersetuju bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap peminjam yang mengabaikan tanggungjawab mereka, terutama jika mereka menunjukkan gaya hidup mewah.
“Wang ini adalah hak rakyat, dan MARA bertanggungjawab memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya,” tambah Asyraf Wajdi lagi. – JURNAL