Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang cuba membangkitkan provokasi mengenai Mentega Terbang pada ketika ini, sedangkan filem itu mula dikongsi di media sosial sejak April 2021, ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Justeru beliau meminta mereka yang berkenaan supaya tidak bersifat hipokrit dalam mengetengahkan isu berkenaan.
“Menariknya, kalau kita teliti di media sosial, filem ini mula berlegar pada tahun 2021, siapa mentadbir (negara) waktu itu? Kenapa tiada apa-apa tindakan pada waktu itu?
“Mana pasukan mereka yang buat laporan sekarang ini? Waktu itu mereka di mana? Kenapa tak teliti (filem itu)?
“Cuma kita tidak boleh hipokrit dalam hal ini. Ini bukan filem baharu tapi sekarang ini cuba diapi-apikan dan cuba diambil kesempatan sesetengah pihak,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai mengenai tindakan yang diambil kementeriannya terhadap produksi Mentega Terbang.Sementara itu beliau turut menyerahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyiasat filem kontroversi tersebut.
Fahmi berkata, siasatan pada ketika ini menjurus kepada beberapa aspek termasuk lesen untuk penggambaran dan pengeluaran filem tersebut.
Pada masa sama katanya, Fahmi juga telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghantar laporan kepada SKMM dengan segera untuk diteliti.
Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Filem berdurasi sejam 45 minit terbitan syarikat Meng Kheng Entertainment, menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.
Memetik laporan Berita Pas, Dewan Pemuda Pas Terengganu (DPPT) menzahirkan rasa pelik dengan sikap sesetengah pihak yang terlibat dalam perfileman di negara ini apabila meluluskan tayangan filem Mentega Terbang tanpa sebarang tapisan dan sekatan.
Ketuanya, Mohd Harun Esa berkata, kelulusan filem yang katanya mempersenda agama Islam itu seperti satu provokasi yang sengaja dilepaskan untuk ‘test market’ pandangan majmuk rakyat Malaysia.
Menurutnya, sisi gelap filem itu dikatakan mempromosikan sekularisme dan liberalisme dalam agama seolah ianya suatu yang biasa dan wajar dibuat dengan alasan kajian atau terasa serasi dengan agama lain tanpa sebarang rasa bersalah. – JURNAL
Sumber: Astro Awani