Lelaki warga Rusia, Ivan Beerkus yang menceroboh Menara Merdeka 118 meminta kerajaan Malaysia supaya tidak membazirkan waktu dan wang untuk mencari dia dan pasangannya, Angela Nikolau.
Beerkus juga memaklumkan bahawa mereka sudah tidak berada di Malaysia.
Menerusi hantaran di Instagram, Beerkus memohon pihak berkuasa supaya berhenti daripada menjejak lokasi mereka.
“Jangan bazirkan bajet (duit) negara untuk mencari kami di Malaysia. Kami sudah tiada di Malaysia lagi,” tulisnya.
Beerkus berkata, usaha untuk memanjat puncak menara itu bukan mudah dan tindakan mereka adalah semata-mata untuk meningkatkan keyakinan diri.
“Kami menunggu di tempat persembunyian kecil di dalam Menara Merdeka 118 lebih 20 jam dalam keadaan kehabisan air, makanan, selain tidak dapat menggunakan tandas serta meregangkan kaki atau bernafas di tengah-tengah semua habuk pembinaan.
“Persediaan kami untuk mendaki mengambil beberapa hari. Bangunan itu telah meningkatkan langkah keselamatan dan kami terpaksa membuat perancangan yang kukuh,” tulisnya sambil berkata aktiviti pendakian adalah cara untuk mencabar diri bersama pasangannya, Angela Nikolau.
Sebelum ini, Angela mendedahkan terpaksa melakukan penyamaran untuk menceroboh ke bangunan tersebut.
Dalam misi tersebut dia memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan tidak dikesan pihak keselamatan. -JURNAL