Jalan Sungai Besi arah selatan akan ditutup selama setahun mulai Sabtu ini hingga 4 Ogos tahun depan bagi memberi laluan kepada kerja pengubahsuaian dan pembinaan jambatan di Bulatan Loke Yew.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, jalan terlibat adalah laluan menghala ke Sungai Besi/Petaling Jaya terletak berhadapan Fraser Business Park dan Bulatan Loke Yew.
Menurutnya, laluan alternatif disediakan sepanjang penutupan jalan berkenaan dan pengguna dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda.
“Patuhi isyarat papan tanda dan arahan polis trafik sebagai panduan serta langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan dan sebarang kesulitan,” kata kenyataan itu.
DBKL memaklumkan, jalan susur dari Jalan Pudu ke Jalan Yew ditutup kepada semua lalu lintas pada tempoh sama.
“Ia bagi membolehkan kerja merobohkan jambatan susur dan pembinaan semula jambatan di Bulatan Pudu menghala ke Jalan Sungai Besi (bersebelahan Balai Polis Pudu) dijalankan.
“Laluan alternatif adalah melalui Jalan Sungai Besi, Jalan Chan Sow Lin, Jalan Satu, Jalan Dua dan Jalan Tiga,” kata kenyataan itu.
Orang ramai boleh merujuk di laman sosial rasmi DBKL untuk info mengenai jalan alternatif dan lencongan untuk panduan sepanjang tempoh penutupan jalan. – JURNAL