Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjalankan siasatan dan meneliti keseluruhan kandungan filem Mentega Terbang dan mendapati ia bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.
Susulan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar memaklumkan pihak Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.
“Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga telah diminta untuk memanggil individu yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya,” katanya.
Na’im berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya pada malam Rabu.
Dalam pada itu, Na’im turut menegaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa juga kandungan penerbitan yang mencemarkan kesucian agama.
Dia turut menasihatkam penggiat seni kreatif supaya berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karya.
Dalam masa sama, masyarakat juga perlu bijak memilih rancangan televisyen yang sesuai untuk ditonton seisi keluarga.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada penggiat seni kreatif agar lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat agar matlamat Kerajaan menuju Negara Madani akan tercapai.
“Masyarakat awam juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih rancangan TV untuk tontonan seisi keluarga samada di platform dalam talian mahupun mana-mana saluran agar tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah Islamiah,” ujarnya.
Terdahulu, filem Mentega Terbang menjadi bualan kerana menggambarkan seorang bapa yang berfikiran terbuka tidak menghalang anaknya untuk memilih agama yang mana perbuatan itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam. – JURNAL