Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mula memantau platform media sosial dan e-dagang milik pempengaruh serta usahawan digital setiap hari untuk mengesan dan memastikan golongan terbabit tidak ‘lari’ daripada membayar cukai.
Pemantauan itu dibuat menerusi Seksyen Audit Ekonomi Digital, unit khas yang ditubuhkan baru-baru ini khusus untuk memantau aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak membayar cukai.
Antara golongan yang dipantau agensi pengutip cukai itu adalah aktiviti perniagaan pengasas produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, pempengaruh, Tiktoker, Instafamous, YouTuber dan pekerja ekonomi gig.
Sebelum ini, ada banyak dakwaan dan laporan media pempengaruh dan usahawan dalam talian yang dikatakan suka menunjukkan kemewahan, namun bukan semua membayar cukai.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, berkata melalui aktiviti pemantauan secara harian ini, agensi itu yakin dapat mengenal pasti pempengaruh dan usahawan digital yang tidak patuh kepada undang-undang percukaian.
“Hasil daripada pemantauan kami ke atas akaun mereka, fail baharu akan didaftarkan dan pemilihan kes untuk diaudit berdasarkan risiko yang dikenal pasti LHDN,” katanya.
Ranjeet berkata, LHDN juga melaksanakan inisiatif dikenali nudging, yang mana Seksyen Audit Ekonomi Digital akan memberi peringatan berhubung tanggungjawab pembayar cukai di ruangan komen media sosial milik pempengaruh dan usahawan digital yang dikenal pasti ‘lari’ daripada membayar cukai.
“Aktiviti nudging’ dapat memberi kesedaran kepada pembayar cukai selari dengan pendekatan kita, iaitu Awareness, Education and Services (AES).
“Kami juga melaksanakan aktiviti pematuhan, iaitu pempengaruh dan usahawan digital yang berisiko akan dipilih untuk tindakan pematuhan oleh LHDN,” katanya.
Beliau menegaskan, asas pengenaan cukai ke atas golongan terbabit masih tertakluk kepada penerimaan pendapatan yang terakru atau terbit di Malaysia atau diterima dari luar Malaysia bagi setiap tahun taksiran.
“Skop pengenaan cukai seseorang individu itu juga bergantung kepada taraf mastautin, justeru semua individu yang layak, termasuk peniaga dalam talian serta pempengaruh media sosial turut dikenakan cukai sekiranya layak,” katanya.
gemas kini rekod percukaian ditambah pula jika mempunyai tunggakan cukai, sudah pasti ia akan memberi sedikit kesan kepada imej mereka selaku pempengaruh, termasuk sekiranya mereka dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara,” katanya.
Justeru, beliau berkata, golongan terbabit disarankan untuk sentiasa memastikan agar rekod penghantaran Borang Nyata teratur dan lengkap berserta rekod bayaran cukai pendapatan. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE