Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei, mempamerkan semangat kesukanan tinggi apabila enggan meraikan kemenangan besar mereka dalam Terbuka China setelah lawan mereka, Ren Xiang Yu, mengalami kecederaan.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu mencatatkan kejayaan sulung dalam Jelajah Dunia BWF Super 1000 selepas menewaskan wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, dalam perlawanan akhir dengan keputusan 13-21, 21-12, 21-17 di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Namun, Xiang Yu mengalami kecederaan belakang sebaik sahaja tamat set pertama, memaksanya menerima rawatan di tepi gelanggang.
Goh Sze Fei menyatakan bahawa ia bukan cara yang mereka inginkan untuk meraih gelaran terbesar dalam karier mereka setakat ini.
“Kami tidak mahu menang dengan cara begini. Saya berharap Xiang Yu segera pulih,” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kejayaan ini menjadikan Izzuddin-Sze Fei beregu pertama Malaysia memenangi gelaran Super 1000, sekali gus menamatkan kemarau 35 tahun sejak gandingan Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek menjuarai Terbuka China pada 1989.
Selain itu, ini adalah gelaran kedua mereka tahun ini selepas menjuarai Terbuka Jepun pada bulan lalu.
Sebagai juara, pasangan negara membawa pulang hadiah wang tunai AS$148,000 (RM622,361), manakala Ji Ting-Xiang Yu menerima AS$70,000 (RM294,360). – JURNAL
Sumber: Berita Harian