Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, meminta semua pihak tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini.
Beliau menjelaskan, ini kerana Sistem Saraan Perkhidmatan Awam belum dimuktamadkan sepenuhnya berikutan kajian terperinci masih sedang dijalankan kerajaan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan setakat ini, belum ada pengumuman khusus mengenai skim saraan baharu itu, kecuali pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, menerusi surat pekeliling itu, JPA memaklumkan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam, diperkenalkan ke arah mengukuhkan lagi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam di Malaysia.
“Maka, pendirian saya ialah kita beri ruang kepada pihak berwajib untuk memberikan penjelasan.
“Hari ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menyatakan (kerajaan akan memberikan) penjelasan penuh, termasuk dalam konteks sama ada beban hutang negara dan sebarang implikasi kewangan yang memberi kesan kepada perbelanjaan mengurus setiap tahun pada peringkat Persekutuan.
“Justeru, sekiranya kita ingin memberi komen, sewajarnya kita bersikap adil dan mendapatkan penjelasan penuh (terlebih dulu daripada pihak berwajib),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Kampung Pulai, Serkam, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman; dan Pengarah Projek HAWANA yang juga Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata Kabinet bersetuju perjawatan bagi kakitangan awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Hari ini, Anwar pula dilaporkan berkata, pelaksanaan skim tidak berpencen bagi penjawat awam baharu, turut terpakai bagi lantikan politik.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, skim baharu itu juga perlu diluluskan di Parlimen sebelum boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan.
“Berilah sedikit ruang untuk kita mendapatkan maklumat penuh. Isunya ialah kadangkala berita disensasikan tanpa maklumat penuh dan hal itu menjadi fitnah… ini yang sedikit merisaukan,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN