Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam mengambil maklum mengenai isu tular membabitkan seorang kanak-kanak seperti yang dimuat naik pempengaruh Hafiz Mahamad di Instagram (IG), pada petang Rabu.
Che Puan Besar Khaleeda meluahkan kegusarannya menerusi hantaran di IG Story miliknya pagi tadi dengan berkongsi semula video dimuat naik Hafiz.
Sementara itu, pempengaruh yang juga bekas pembaca berita RTM, Iesya Toh turut berkongsi mengenai perkara tersebut dan memaklumkan mendapat hantaran mesej peribadi daripada Jabatan Diraja Johor.
Menerusi tangkap layar dikongsi Iesya, seorang individu memperkenalkan dirinya sebagai Shiqa dari Jabatan Diraja Johor memohon bantuan untuk mendapatkan info lanjut mengenai kes tersebut.
Menurut Shiqa, dia juga telah menerima hantaran mesej daripada individu lain yang diarahkan oleh pegawainya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kes kanak-kanak yang dipercayai baru berusia 2 tahun 10 bulan didera secara seksual itu.
Dakwa individu berkenaan, isu tersebut telah menarik perhatian pihak Istana Johor.
Sementara Iesya di ruangan kapsyen telah menanda (tag) nama pemilik asal video berhubung permintaan pihak istana itu.
Che Puan Besar Khaleeda memang sangat dikenali dengan keprihatinannya berkaitan isu rakyat terutama melibatkan kanak-kanak dan wanita.
Sebelum ini baginda turut membantu dalam kempen kesedaran #justiceforbella berikutan kes penderaan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom Down bernama Bella demi menuntut keadilan sewajarnya.
Malah pada 15 Mei lalu, baginda turut menyantuni beberapa kanak-kanak istimewa termasuk Bella di Taman Tema Legoland, Johor Bahru. – JURNAL