Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, kerajaan tidak berhak untuk melarang mana-mana pihak membicarakan isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum).
Menurut Tun M menerusi ciapannya di laman X (Twitter), larangan 3R oleh kerajaan itu terlalu umum.
“Ramai juga yang menyoal kenapa saya marah sangat terhadap larangan bercakap berkenaan 3R – iaitu Race (Bangsa), Religion (Agama) dan Royalty (Raja).
“Bukankah Kerajaan berhak melarang sesuatu? Tidak. Kerajaan tidak boleh larang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara,” katanya.
Mahathir turut mempersoalkan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.
“Larang 3R terlalu umum. Tidak dijelas kenapa dan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.
“Apakah kalau saya kata “Saya orang Melayu” maka ia mengancam keselamatan negara. Jika saya kata “Orang Melayu menghadapi masalah” maka saya dianggap sebagai pemberontak yang polis perlu soal saya.
“Saya kata saya beragama Islam, maka ini juga melanggar arahan Perdana Menteri.
“Kalau saya salah maka Perlembagaan juga salah kerana Perlembagaan menyebut “Islam” sebagai agama rasmi Malaysia.
“Salahkah kalau saya kata kita punyai “Raja Berperlembagaan?”, soal beliau.
Bahkan kata Dr Mahathir, apa hak Perdana Menteri membuat larangan.
Menurut beliau, negara ditadbir mengikut undang-undang dan setiap suatu yang hendak diperbuat oleh kerajaan ada caranya.
Ujarnya, negara kita mempunyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Ada cara tertentu untuk melulus undang-undang. Perdana Menteri bukan bebas untuk membuat undang-undang.
“Polis dan SPRM juga tidak bebas bertindak sesuka hati. Semua gerakan Kerajaan mempunyai cara dan undang-undang yang perlu diikuti.
“Cara manakah yang dibuat oleh Perdana Menteri dengan tiba-tiba merampas hak rakyat dan hak parti-parti politik bercakap.
“Cuma pemerintahan kuku besi sahaja yang memberi kuasa tanpa had kepada pemerintah. Sudahkah kita sampai ke peringkat itu?
“Itu soalannya. Lebih-lebih lagi pelakunya ialah seorang reformis yang kononnya menolak cara pemerintahan kuku besi,” tegasnya. – JURNAL