Baru-baru ini tular di media sosial isteri kepada Menteri Besar (MB) Kelantan iaitu Datin Siti Zabidah Ab. Hamid menjinjing beg tangan berjenama mewah bernilai puluhan ribu ringgit.
Foto Siti Zabidah dan suaminya, Datuk Ahmad Yaakob di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menyambut kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian warganet.
Seorang pelayar di laman sosial Twitter mendakwa, beg tangan berwarna hitam berjenama Dior itu berharga RM26,000.
Bagaimanapun, anak kepada pasangan berkenaan yang dikenali sebagai Azma Ahmad menafikan dakwaan tersebut menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Menurut Azma, beg tangan itu merupakan hadiah pemberiannya bersama adik-beradik lain sewaktu menyambut hari keluarga tahun ini.
“Beg itu sebenarnya hadiah daripada kami adik-beradik kepada Umi sempena Family Day 2022. Tiada modal sungguh nak buat fitnah.
“Umi kata kalau beg RM26,000 baik beli emas!” tulisnya di laman Facebook.
Sementara itu, Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, beg tangan yang digunakan Siti Zabidah sekitar RM300 bukannya mewah sehingga berharga RM26,000 seperti didakwa.
Jelas kenyataan itu, penyebaran gambar tersebut hanyalah cubaan memfitnah untuk menjatuhkan imej dan peribadi kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Rakyat tidak sepatutnya disajikan bahan fitnah dan persepsi jahat bagi tujuan ‘character assasination’ yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti dan integriti kepimpinan Kerajaan Negeri,” ujarnya. -JURNAL