Seorang wanita maut manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawapan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) selepas makan hidangan ikan buntal.
Ikan buntal iaitu sejenis ikan yang juga disebut ‘ikan fugu’ tergolong dalam satu daripada jenis racun semulajadi yang paling bahaya dan mematikan di dunia, dibeli menerusi laman Facebook dari pembekal di Batu Pahat yang mendapatkan bekalan dari nelayan di Endau.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata mangsa yang mengalami gejala sesak nafas dan menggigil, pada jam 5 petang Jumaat lalu kemudian disahkan maut dua jam kemudian.
Beliau berkata, suami mangsa turut mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan.
“Kerajaan Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri mengambil maklum satu pelaporan keracunan makanan yang menyebabkan satu kematian di daerah Kluang.
“Ia membabitkan sepasang suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara pra tempahan melalui aplikasi Facebook.
“Bekalan diterima pada pagi 25 Mac lalu, dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging babi.
“Kedua-dua pasangan itu dibawa oleh anak mereka yang tinggal berasingan ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada jam 5 petang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, difahamkan ini adalah kali pertama pasangan berkenaan makan masakan berasaskan ikan buntal.
Racun yang dikenali sebagai Tetrodotoksin yang terdapat di dalam ikan buntal adalah racun yang boleh menyerang sistem saraf dan sangat mematikan.
Racun ini didakwa lebih mematikan dibandingkan racun sianida (cyanide). Memakan sekitar 1-2 miligram racun tetrodotoksin asi sahaja sudah dapat membuat nyawa melayang kesannya.
Katanya, siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperoleh dari nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.
“Penjual yang mengedarkan ikan buntal ini juga berasal dari Batu Pahat, membuat edaran kepada pelanggan berdasarkan tempahan yang dibuat melalui aplikasi Facebook.
“Sebanyak 15 kilogram ikan buntal dijual di sekitar Chamek iaitu empat pelanggan, Paloh (empat Pelanggan) dan Yong Peng (satu pelanggan) pada hari tersebut.
“Selain dari pasangan terbabit, semua pelanggan lain masih belum memakan ikan buntal yang dibeli,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat telah mengambil sampel ikan itu dari pelanggan yang dibeli dari penjual berkaitan.
“Sampel ini telah dihantar ke makmal untuk tujuan analisa. Sehingga kini tiada lagi pelaporan baru berkaitan dengan ikan buntal,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ianya mempunyai risiko yang telah diketahui.
“Kerajaan Johor bersama Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau dan memastikan keselamatan makanan,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE