Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru umat Islam di Malaysia agar mengambil iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj dengan meningkatkan semangat bekerja keras, berdisiplin, dan teguh dalam pengabdian kepada ALLAH SWT.
“Keistimewaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW melalui perjalanan spiritual ini hadir bersama amanah solat, meninggalkan kesan besar kepada roh dan kekuatan dalaman umat,” katanya menerusi hantaran di media sosial sempena sambutan Israk dan Mikraj pada Isnin.
Beliau turut menegaskan kepentingan kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang memayungi umat Islam, seperti dilambangkan dalam solat yang dipimpin Baginda bersama para Rasul.
Selain itu, Anwar menekankan pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj dalam konteks peranan dua kota suci, Makkah dan Baitulmuqaddis. Dalam hal ini, beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar terus menunjukkan solidariti untuk rakyat Palestin yang masih tertindas.
“Ingatan dan doa kepada nasib rakyat Palestin harus menjadi sebahagian daripada sikap konsisten kita dalam memperjuangkan maruah dan keadilan untuk mereka,” tambahnya.
Sambutan Israk Mikraj, yang jatuh pada 27 Rejab setiap tahun Hijrah, memperingati detik bersejarah apabila solat diwajibkan dan Nabi Muhammad SAW menyaksikan kebesaran ALLAH. – JURNAL