Dunia menanti lanjutan pemberhentian perang yang akan tamat hari ini tetapi Israel tetap dengan pendirian mahu teruskan perang sehingga Hamas dihapuskan sama sekali.
Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, menegaskan tentera Israel akan terus memerangi Hamas sehingga ia tidak wujud lagi di Gaza atau mana-mana wilayah lain.
Kenyataan ini dibuat ketika Israel dan Hamas sedang mempertimbangkan fasa baharu pemberhentian perang yang sebelum ini dilanjutkan dua hari, selepas ia berakhir Selasa.
Israel mahu Hamas bukan hanya membebaskan penduduk Israel, tetapi juga anggota tentera yang ditahan.
“Pada permulaan perang, saya tekankan tiga misi. Menghapuskan Hamas, mengembalikan semua tahanan kami dan memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel. Ketiga-tiga objektif ini kekal.
“Sejak beberapa minggu lalu, Israel mencapai kejayaan, termasuk membebaskan tahanan kami.
“Namun, sejak kebelakangan ini, ada pertanyaan dikemukakan, selepas selesai fasa membebaskan tahanan adakah Israel akan kembali bertempur? Jawapan saya adalah ya.
“Tiada faktor yang akan menamatkan pertempuran ini. Inilah dasarnya. Seluruh Knesset (Kabinet Israel) menyokongnya. Ini adalah apa yang kami mahukan,” katanya.
Pada Selasa, wakil Agensi Siasatan Pusat (CIA), Agensi Risikan Israel (Mossad) dan Perdana Menteri Qatar dilaporkan berunding pusingan baharu pemberhentian perang.
Qatar juga mengadakan pertemuan dengan wakil Hamas, namun sehingga kini hasil rundingan tidak didedahkan.
Dalam pada itu di New York, Amerika Syarikat (AS) berharap pemberhentian sementara perang di Gaza dilanjutkan.
Harapan itu disuarakan wakil tetap AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas Greenfield, yang menyatakan lanjutan pemberhentian perang kini terletak di tangan Hamas.
“Kami berharap gencatan senjata ini boleh dilanjutkan, tetapi seperti mana yang ditekankan dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebelum ini, semuanya terserah kepada Hamas.
“Israel juga memaklumkan, jika Hamas terus membebaskan 10 tahanan sehari, mereka akan melanjutkan gencatan sehari lagi. Jadi, semuanya terserah kepada Hamas.
“Kami yakin kepada potensi ini, dan kami sedang bekerja keras untuk melanjutkan perjanjian ini dengan matlamat akhir menamatkan perang,” katanya.
Perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas selama empat hari yang sepatutnya tamat pada Isnin, dilanjutkan dua hari lagi, menambah tempoh keseluruhan kepada enam hari. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE