Israel bersetuju menangguhkan serangan selama empat jam setiap hari di utara Semenanjung Gaza bagi tujuan kemanusiaan, kata White House seperti laporan portal berita The New Arab semalam.
Menurut laporan sebelum ini, barisan perunding hampir mencapai persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata kemanusiaan selama tiga hari di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan kira-kira 12 tebusan yang ditahan kumpulan Hamas.
Jeda kemanusiaan itu dimaklumkan oleh dua pegawai Mesir, seorang dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seorang diplomat Barat yang bercakap mengenainya tetapi enggan nama mereka disiarkan. Tidak jelas sama ada jeda kemanusiaan itu berkaitan dengan rundingan gencatan senjata yang masih berlangsung.
Gencatan senjata itu sekiranya berjaya, membolehkan lebih banyak bantuan termasuk bekalan bahan api dibawa masuk ke Gaza bagi mengurangkan penderitaan 2.3 juta rakyat Palestin yang terperangkap di wilayah berkenaan.
Rudingan gencatan senjata itu dilaporkan sedang diuruskan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS). Seorang pegawai Mesir berkata, butiran perjanjian itu dibincangkan minggu ini di Kaherah bersama ketua Agen Perisikan Pusat (CIA) dan delegasi Israel.
Di bawah perjanjian itu, Hamas akan membebaskan 12 tebusan awam, kebanyakannya pemegang pasport asing dan memberikan senarai lengkap tebusan kepada orang tengah. Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah pula akan dibenarkan melawat mereka.
Di bawah perjanjian yang dicadangkan itu, beberapa bahan api juga akan memasuki Gaza buat kali pertama sejak permulaan perang untuk diedarkan ke hospital dan kedai roti di bawah pengawasan PBB. – JURNAL
Sumber: AGENSI menerusi KOSMO ONLINE!