Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pihaknya dimaklumkan oleh tentera Israel, lewat malam tadi, bahawa kira-kira 1.1 juta rakyat Palestin di utara Gaza harus dipindahkan ke bahagian selatan kawasan itu dalam tempoh 24 jam seterusnya.
Ia dikhuatiri berkemungkinan petanda ambang pelancaran serangan darat yang dirancang oleh rejim Zionis, dalam ketegangan semakin memuncak selepas kumpulan pejuang Hamas bertindak balas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada Sabtu minggu lalu.
“Pegawai PBB di Gaza diberitahu pegawai perhubungan mereka dalam tentera Israel bahawa seluruh populasi di utara Wadi Gaza harus dipindahkan ke selatan Gaza dalam tempoh 24 jam. Ia bakal membabitkan kira-kira 1.1 juta penduduk.
“PBB merayu sungguh-sungguh agar sebarang arahan sedemikian, jika sah, dibatalkan bagi mengelakkan tragedi memang sedia ada kini berubah menjadi situasi malapetaka,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, dalam satu kenyataan di New York.
Jumlah penduduk terbabit meliputi hampir separuh daripada keseluruhan 2.3 juta populasi Gaza, manakala kawasan utara Wadi Gaza pula termasuk bandar terbesar di enklaf itu, Gaza City.
Dujarric berkata, PBB menganggap mustahil untuk pergerakan seumpama itu berlaku tanpa akibat yang memusnahkan kemanusiaan.
Beliau berkata, arahan oleh tentera Israel itu turut meliputi semua kakitangan PBB dan mereka yang berlindung di kemudahan agensi antarabangsa berkenaan, termasuk sekolah, pusat kesihatan serta klinik.
Tentera rejim Zionis tidak memberi komen mengenai amaran itu, setakat ini, ketika Israel mengerahkan kereta kebalnya ke lokasi berhampiran sempadan Gaza sambil berterusan membedil Gaza dengan serangan udara.
Namun, Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan dilihat seolah-olah mengesahkan amaran itu dengan berkata: “Respons PBB terhadap amaran awal Israel kepada penduduk Gaza adalah memalukan.”
Erdan mendakwa, PBB sepatutnya memfokus mengutuk Hamas dan menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri.
Ketua pejabat media kerajaan Hamas, Salama Marouf bagaimanapun menyifatkan amaran berpindah itu sebagai cubaan Israel untuk ‘menghebah dan menyebarkan propaganda palsu, bertujuan menyemai kekeliruan dalam kalangan penduduk serta merosakkan perpaduan dalaman mereka.’
“Kami menggesa rakyat kami supaya tidak terpengaruh dengan cubaan itu,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE