Sejak 2020, Malaysia telah diperkenalkan dengan inisiatif tiada penggunaan beg plastik di semua premis perniagaan seperti yang diumumkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Sesetengah premis mula mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik di kaunter pembayaran. Namun, inisiatif ini tidak bertahan lama apabila penggunaan beg plastik kembali berleluasa di kalangan pelanggan.
Pada 26 September, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan bahawa sebanyak 20 pasar raya besar, kedai serbaneka, farmasi, dan kedai kesihatan akan menghentikan pemberian beg plastik sepenuhnya bermula 1 Oktober 2024.
Langkah ini melibatkan lebih 8,000 premis perniagaan, termasuk 99 Speedmart, Aeon, 7-Eleven, TF Value Mart, Guardian, dan banyak lagi.
“Pelanggan diberi pilihan untuk membawa beg sendiri dari rumah atau membeli beg kitar semula di kedai. Beberapa premis sudah pun melaksanakan inisiatif ini, namun kini mereka menandatangani Akujanji untuk melaksanakannya secara besar-besaran,” kata Kor Ming semasa pelancaran kempen ‘Tiada Beg Plastik Sekali Guna’.
Kor Ming turut menjelaskan bahawa program ini dijangka mengurangkan penggunaan beg plastik sebanyak 200 juta dalam tempoh setahun, sekaligus mengurangkan jumlah sisa plastik yang perlu dilupuskan.
Ini juga akan membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan yang sedia ada.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan menanggung kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebanyak RM2 bilion setiap tahun.
Inisiatif ini diharapkan dapat mengurangkan pergantungan kepada tapak pelupusan yang memerlukan kos pembukaan dan naik taraf yang sangat tinggi.
Dalam perkembangan lain, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Azmi Nik Ahmad turut menyatakan pada Mei tahun lalu bahawa Malaysia bersedia menghentikan penggunaan beg plastik di semua sektor perniagaan menjelang 2025.
Pelaksanaan ini akan dijalankan secara berfasa, bermula dengan premis tetap seperti pasar raya diikuti warung dan gerai tepi jalan. Selain denda, insentif turut dirancang bagi menggalakkan peralihan ini. – JURNAL