Akhirnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi penjelasan mengapa kedai manisan timur tengah yang terletak di Bukit Bintang, berhadapan dengan pusat beli-belah Lot10, Kuala Lumpur, disita baru-baru ini.
DBKL menerusi sebuah kenyataan berkata pihak mereka melalui Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum ini telah menjalankan pemantauan di premis tersebut.
Hasil daripada pemantauan yang telah dijalankan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL untuk sebarang aktiviti menjaja.
Premis tersebut hanya mempunyai Lesen Hiburan Semasa (Promosi Luar Bangunan). Selain itu, aktiviti perniagaan tersebut turut dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah.
Susulan daripada hasil pemantauan tersebut, sebuah operasi penguatkuasaan telah dijalankan pada 19 Ogos 2023 (Sabtu) di premis terbabit.
Dalam operasi yang telah dijalankan itu, satu notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK3 (1) UUK Pelesenan Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dari DBKL dan premis tersebut turut diambil tindakan tutup serta merta (SEALED) dibawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Tindakan dan pemantauan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Untuk sebarang aduan, orang awam boleh boleh menyalurkan melalui portal ADU@KL di laman sesawang http://adukl.dbkl.gov.my.
Terdahulu tular sebuah video di media sosial mengenai premis ‘Zaitoun’ yang menjual khunafa dan manisan arab disita DBKL.
Turut tular aksi kurang manis orang awam terutama wanita, yang berinteraksi dengan peniaga kedai berkenaan sehingga ramai beranggapan premis tersebut disita disebabkan perkara tersebut. – JURNAL