Pemandu rali profesional dan penggerak di sebalik jenama Hoonigan, Ken Block, 55, meninggal dunia akibat kemalangan kereta luncur salji (snowmobile) di Utah.
Berita mengenai kematian pemandu rali, RX, Gymkhana dan Gymkhana GRID profesional itu diumumkan melalui akaun Instagram kumpulan yang diasaskan bersama oleh mendiang, @thehoonigans.
Ken dikatakan menunggang kereta luncur salji secara berkumpulan, namun difahamkan dia tertinggal berseorangan di belakang semasa kejadian berlaku.
Menurut laporan media antarabangsa, kereta luncur dinaiki mendiang terjatuh dan terbalik serta menghempap dirinya sewaktu melalui cenuram.
Mendiang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.
Menurut Facebook Wasatch Country Sheriff’s Office, pihaknya menerima panggilan 911 kira-kira pukul 2.00 petang yang melaporkan kemalangan kereta luncur salji di kawasan Mill Hollow.
Pasukan mencari dan menyelamat bersama-sama dengan penguatkuasaan undang-undang dari Pejabat Syerif Daerah Wasatch, Taman Negeri Utah dan Perkhidmatan Hutan A.S. segera menghantar bantuan.
Pejabat Pemeriksa Perubatan Negeri akan menentukan punca rasmi kematian dalam masa terdekat.
Ken Block merupakan seorang pemandu rali profesional Amerika dengan Hoonigan Racing Division, dahulunya dikenali sebagai Monster World Rally Team.
Block juga merupakan salah seorang pengasas bersama jenama kasut terkenal DC Shoes dan telah bertanding dalam banyak acara sukan aksi, termasuk papan selaju, papan salji, serta motocross.
Selepas menjual pemilikan DC Shoes, Block mengalihkan tumpuan perniagaannya kepada Hoonigan Industries, jenama pakaian untuk peminat automotif. – JURNAL