Ibu kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai meninggal dunia akibat didera terduduk dan menangis ketika menatap jenazah anak bongsunya itu buat kali terakhir.
Dia yang memakai baju tahanan berwarna ungu diberi peluang melihat jenazah anaknya kira-kira lima minit dan dilihat menangis sebaik keluar dari bilik forensik sebelum menuju ke van Jabatan Penjara Malaysia.
BACA: Budak Lelaki Empat Tahun Maut Didera, Dua Kakak Mangsa Antara Lima Suspek Ditahan
Wanita itu sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Kluang akibat kesalahan dadah tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 2.15 petang dengan diiringi dua pegawai penjara.
Bapa kanak-kanak itu sedang menjalani tempoh tahanan di Penjara Sungai Udang, Melaka juga atas kesalahan sama.
Mangsa meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI.
Arwah sebelum itu dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat dan meninggal dunia pada 26 Disember lalu.
Mangsa merupakan anak bongsu daripada 11 beradik.
Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad yang pernah menjaga kanak-kanak terbabit mengakui terkilan dan berharap agar individu didapati bersalah dikenakan hukuman setimpal.
Ruslan berkata, sekiranya tahu kejadian malang itu akan berlaku, pasti dia akan ‘menyimpan’ cucu saudaranya dalam jagaannya.
Semalam, polis menahan lima suspek termasuk dua kakak kandung serta abang ipar mangsa yang dipertanggungjawabkan menjaga arwah sepanjang ketiadaan kedua-dua ibu bapa mereka. – JURNAL
Sumber Harian Metro