Ibu bapa di kawasan sempadan Sungai Golok, Malaysia-Thailand, merayu agar pihak berkuasa memberi kelonggaran kepada pelajar sekolah untuk menggunakan pangkalan haram bagi memudahkan perjalanan ke sekolah.
Menurut mereka, ramai pelajar dari Thailand bersekolah di Malaysia dan sebaliknya, menyebabkan penutupan pangkalan haram menjadi cabaran besar, terutama bagi keluarga yang bergantung kepada laluan itu.
Seorang penduduk Golok, Ishak Ghazali, 63, berkata beliau menyokong tindakan menutup pangkalan haram bagi kegunaan umum, tetapi berpendapat pelajar perlu dikecualikan.
“Jika pangkalan haram ditutup, anak-anak akan sukar ke sekolah. Menggunakan ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) akan menyebabkan kelewatan kerana jarak dan kos tambahan untuk pengangkutan,” katanya.
Ishak, yang keluarganya sudah empat generasi bersekolah di Rantau Panjang, menjelaskan bahawa tradisi bersekolah di Malaysia diteruskan kerana sistem pendidikan yang lebih baik.
“Kami faham keperluan kawalan keselamatan, tetapi pihak berkuasa perlu mempercepatkan proses di ICQS jika pelajar diwajibkan melalui laluan itu. Mereka perlu sampai ke sekolah sebelum 7.30 pagi,” tambahnya.
Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengumumkan bahawa pengguna pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok akan ditahan bermula 1 Disember ini. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen.
Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menjalankan pemantauan 24 jam bagi memastikan tiada individu melanggar peraturan sempadan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian