Demi menghormati sambutan Maulidur Rasul 2023 yang jatuh 28 September ini, Mission Sight Sdn Bhd selaku penganjur Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur, mengambil tanggungjawab untuk mengubah tarikh konsert kepada masa yang lebih sesuai.
Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini di Stadium Malawati Shah Alam, ditunda ke 25 November depan.
Pengarah Urusan Mission Sight Sdn Bhd, Jeffri Yaacob berkata, penundaan tarikh dibuat selepas perbincangan bersama pihak Majlis Bandaraya Shah Alam berkaitan perkara tersebut.
“Kita telah mencapai persetujuan bersama dan kami, menghargai pandangan dan nasihat pihak atasan Majlis Bandaraya Shah Alam.
“Sudah menjadi tanggung jawab penganjur agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan dapat menjaga keharmonian semua pihak.
“Diharap dengan penundaan Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur ke tarikh yang lebih sesuai dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penonton untuk sama-sama memeriahkan acara ini bersama-sama dengan kami.
“Tambahan lagi, kami juga bercadang untuk mengadakan Muzik Milenia Food Festival selama empat hari berturut-turut di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam bermula pada 23 hingga 26 November 2023.
“Pihak kami sedang merangka strategi untuk menyediakan pelbagai acara yang dibarisi oleh selebriti, TikTokers dan usahawan tempatan.
“Justeru itu, kami berbesar hati ingin mempelawa TikTokers, vendor-vendor makanan atau produk viral tempatan termasuk Indonesia untuk menyertai festival ini.
“Ia secara tidak langsung dapat mencapai objektif kami untuk mengukuhkan kerjasama di antara dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu Jeffri berharap agar penundaan tarikh konsert ini juga dapat memberi peluang pemasaran lebih meluas kepada Konsert Milenia.
“Kami juga berharap agar dapat menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia ke negara ini. Siapa tahu Konsert Milenia dimasukkan ke dalam itinerari percutian hujung tahun mereka,” katanya.
Terdahulu, konsert ini menjadi tular kerana dinamakan sebagai ‘Konsert Goyang Asia Koplo Milenia’, telah mengundang persepsi negatif segelintir masyarakat.
Prihatin dengan isu tersebut, penganjur telah melakukan penjenamaan semula dengan menukarnya kepada ‘Konsert Milenia’, yang dilihat lebih universal sekaligus menghapuskan persepsi kurang enak dalam kalangan masyarakat.
“Kami sedar genre dangdut sering mengundang persepsi negatif sehingga mencetus kebimbangan dalam kalangan masyarakat disebabkan tarian gelek dan aksi seksi yang dianggap mencolok mata dan lucah.
“Persepsi sedemikian timbul mungkin disebabkan orang kita sudah terbiasa disajikan dengan persembahan dangdut dan gelek di Indonesia.
“Di Malaysia, kita ada garis panduan yang perlu dipatuhi dan segala terma serta syarat penganjuran konsert Milenia ini telah ditapis oleh 14 agensi di bawah PUSPAL.
“Garis panduan yang disediakan juga tegas iaitu, tidak membenarkan para artis yang membuat persembahan mengenakan pakaian seksi dan terdedah, persembahan tidak menonjolkan unsur-unsur lucah seperti bergelek berlebihan dan mencolok mata serta yang boleh memberi impak negatif,” katanya.
Penganjur turut memberi jaminan bahawa Konsert Milenia tidak akan dicemari dengan aksi tidak senonoh serta negatif seperti dakwaan sesetengah pihak.
Konsert Milenia dan lebih bersifat kekeluargaan dan mesra penonton memandangkan ia diadakan ketika musim cuti persekolahan.
Tiket dengan harga Rahmah dan boleh didapati di laman sesawang https://www.ticket2u.com.my/event/31151/konsert-milenia
Konsert Milenia bakal mencipta sejarah apabila menampilkan ratu dangdut Malaysia dan Indonesia iaitu Amelina, Ani Maiyuni, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-Klepek dan Rheyna Morena.
Penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima juga akan turut serta menjayakan konsert ini kelak.
Bagi menarik peminat-peminat muda, DJ Dugem popular iaitu, DJ ACE dan DJ Bob Arjuna turut diundang untuk memeriahkan lagi malam konsert dengan persembahan muzik berirama Dugem yang sedang menjadi trending di TikTok.
Konsert terbesar ini bakal terpahat sebagai sejarah sekiranya ia berjaya direalisasikan seperti yang dirancang.
Oleh itu, Konsert Milenia sangat memerlukan sokongan semua, (penggiat muzik dangdut khasnya) untuk dijadikan penanda aras kepada konsert seterusnya pada masa akan datang sekaligus dapat membuka ruang kepada lebih ramai lagi penyanyi yang memperjuangkan irama ini untuk mengadakan persembahan.
Justeru itu, untuk memberikan persembahan yang lebih variasi, Mission Sight Sdn Bhd juga sedang mencari mencari seorang penyanyi lelaki dari Malaysia atau Indonesia yang bersesuaian untuk menyampaikan lagu-lagu Rock Dangdut.
Semoga dengan kehadiran penyanyi lelaki tersebut dapat menjadi pengemudi kepada konsert ini kelak, memandangkan semua barisan artis yang bakal membuat persembahan dibarisi wanita. – Jurnal