Honda Malaysia memperkenalkan Honda Civic baharu dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula dari RM133,900 untuk varian E. Tiga lagi varian turut ditawarkan: varian V (RM144,900), Petrol RS (RM149,900), dan e:HEV RS pada RM167,900.
Model ini hadir dalam lima pilihan warna menarik termasuk Canyon River Blue Metallic, Platinum White Pearl, Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic, dan Crystal Black Pearl.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, berkongsi bahawa syarikat itu mencatatkan jualan memberangsangkan melebihi 81,600 unit sepanjang tahun 2023, sekaligus mengekalkan kedudukan Honda sebagai peneraju Segmen-C bukan nasional untuk 11 tahun berturut-turut.
Honda Civic baharu menampilkan reka bentuk dinamik dengan ciri tersendiri, termasuk roda aloi 18 inci untuk varian e:HEV RS serta gril hitam yang sporty untuk Petrol RS.
Varian e:HEV RS dikuasakan oleh rangkaian kuasa 2.0L e:HEV, menghasilkan 184PS dan 315Nm tork, manakala Petrol RS dilengkapi enjin 1.5L VTEC Turbocharged dengan 182PS dan 240Nm tork, menawarkan pengalaman pemanduan yang mantap.
Antara kelebihan utama adalah sistem ‘Google Built-In’ yang membolehkan pemandu mengakses Google Assistant, Google Maps masa nyata, dan aplikasi Google Play untuk kemudahan tambahan. Sambungan wireless Apple CarPlay dan Android Auto turut disertakan bersama port pengecas USB type-C.
Civic baharu hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termaju seperti sistem Low Speed Follow (LSF), kawalan pelayaran adaptif (ACC), amaran pelanggaran hadapan (FCW), dan sistem brek pengurangan perlanggaran (CMBS).
Turut disertakan sistem integrasi pintar Honda Connect, memastikan pelanggan menikmati gabungan teknologi canggih untuk kemudahan dan keselamatan terbaik.
Dengan harga dan ciri baharu yang kompetitif, Honda Civic baharu dijangka terus menguasai pasaran dan mengekalkan popularitinya dalam Segmen-C bukan nasional. – JURNAL