Menganggap perkhidmatannya dalam Parti Pejuang tidak lagi relevan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meletak jawatan sebagai Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Eksekutif Pejuang (MEP).
Perletakan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta pada 20 Disember lalu susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti berkenaan iaitu
Khairuddin yang juga suami kepada aktres Umie Aida itu turut mengumumkan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, tindakan itu berikutan perletakan jawatan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Disember lepas.
“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Dr Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip serta tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi agama, bangsa dan negara.
“Saya hanya memberi perkhidmatan terbaik dan seamanah mungkin kepada Dr Mahathir. Akan tetapi sebaik perletakan jawatan beliau diterima Biro Politik Pejuang dan hal itu dimaklumkan sewaktu mesyuarat MEP Pusat pada 15 Disember baru-baru ini, maka perkhidmatan saya dalam Pejuang sudah tidak lagi relevan,” tegasnya menerusi sebuah kenyataan.
Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir ditubuhkan pada 12 Ogos 2020 berteraskan kepada prinsip menentang salah guna kuasa, korupsi, membangunkan negara dan kebahagiaan rakyat.
Merupakan anak kelahiran Pulau Pinang, Khairuddin, 60, mula bergiat dalam arena politik pada 2013 dan pernah memegang jawatan selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta Naib Ketua UMNO Batu Kawan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini, Khairuddin bertanding di Parlimen Titiwangsa, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan sekadar memperoleh 888 undi. – JURNAL
Sumber: BERNAMA