Tiga mata menjadi buruan utama Harimau Malaya dalam pertembungan dengan Bahrain bagi aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hamad, esok.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjelaskan pasukannya sudah memperbaiki segala kelemahan yang ada pada aksi pertama berdepan Jordan di Stadium Al Janoub, Selasa lalu.
Pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan mental dan psikologi pemain Harimau Malaya juga ditingkatkan selepas mereka berdepan detik mengecewakan tewas 0-4 kepada Jordan.
“Kami sudah melihat semua aksi pertama (berdepan Jordan) dan memperbetulkan kelemahan. Kami juga meluangkan masa melakukan pemulihan termasuk dari segi mental dan psikologi.
“Kami datang bukan untuk seri atau kalah. Kami mahukan kemenangan dan ia sangat penting bagi kami. Malah, untuk lawan Korea Selatan pun kami menaruh impian untuk menang.
“Jadi segala perancangan kami untuk perlawanan esok adalah untuk meraih kemenangan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Harimau Malaya memiliki misi sama dengan Bahrain iaitu perlu mendapatkan kemenangan selepas masing-masing tewas dalam aksi pertama, Selasa lalu.
Selepas Bahrain, Harimau Malaya akan berdepan cabaran lebih hebat apabila menentang pasukan pilihan, Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan, Khamis ini. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN