Suasana sedih menyelubungi Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216, apabila tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu yang berlaku hampir sedekad lalu, dipersembahkan semula dalam bentuk persembahan pantomim oleh sekumpulan anggota polis.
Lebih mengharukan, apabila tiga anak kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat iaitu Muhammad Noorakmal Amiruddin, 15, Noor Muhammad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10 tahun yang turut membuat kemunculan dalam persembahan itu.
Turut bersama dalam pantomim itu adalah anak kepada Sarjan Sabarudin Daud, Haziq Wahiduzzaman, 28, dan Hareq Zafri, 21 tahun.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut kelihatan sebak manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menitiskan air mata menyaksikan pantomim itu.
Pantomim yang menceritakan tragedi sebenar pengusiran kumpulan yang mendakwa pewaris Kumpulan Sulu dari selatan Filipina, dipersembahkan lebih 80 anggota polis, yang kebanyakannya terbabit dalam tragedi itu pada 2013.
Pada 1 Mac 2013, dua anggota polis, Zulkifli dan Sabarudin terkorban manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.
Keesokan harinya, enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna.
Selain Zulkifli dan Sabarudin, turut terkorban dalam tragedi berdarah itu adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Asisten Superintendan Michael Padel, Sarjan Abdul Azis Sarikon, Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Detektif Baharin Hamit, Koperal Salam Tugiran dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail. – JURNAL
Sumber/Foto: BH Online