Kadar inflasi 2.8 peratus yang dicatatkan pada Mei 2023 mencerminkan trend harga yang semakin stabil berterusan, demikian kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, berdasarkan perangkaan dan unjuran yang ada serta mengambil kira keadaan makro dan global, pihaknya berharap trend penurunan inflasi itu akan berterusan.
Katanya, jika trend peningkatan harga semakin reda dan terus turun, adalah diharapkan menjelang Ogos dan September ini, harga barang yang dicatatkan pada bulan itu akan sama seperti tahun lalu.
“Sasaran kerajaan adalah memastikan kestabilan harga. Apabila inflasinya sudah berada dalam lingkungan 2.0 peratus hingga 2.5 peratus, maksudnya dari setahun ke setahun, harga itu naik sedikit saja dan ia hampir sama dengan tahun lalu. Insya-Allah kita ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mei 2023, hari ini.
Kadar inflasi negara pada Mei 2023 terus reda kepada 2.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada April 2023, mencatat penurunan sembilan bulan berturut-turut.
Kadar inflasi yang dicatatkan pada bulan lalu itu juga adalah terendah dalam setahun.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penurunan inflasi bagi Mei 2023 juga menunjukkan kejatuhan menyeluruh merentas semua kategori perbelanjaan, menandakan penstabilan harga secara menyeluruh.
Beliau berkata, kadar inflasi yang stabil adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan agar ekonomi negara terus berkembang tanpa menyebabkan permintaan yang mendadak sehingga menyebabkan harga barang dan perkhidmatan tidak melonjak berterusan sehingga tidak terkawal.
Katanya, penstabilan harga melalui penurunan inflasi yang menyeluruh dan berterusan adalah sebahagian dari strategi menyeluruh kerajaan menangani kos sara hidup rakyat agar tidak membebankan.
Mengenai pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap keterlaluan, Rafizi berkata, terdapat pelbagai campur tangan oleh bank pusat, yang mana ada antaranya adalah secara langsung.
Beliau berkata, konteks campur tangan BNM adalah lebih kepada memantau pergerakan sama ada tunai dibawa pulang kembali ke Malaysia oleh pengeksport.
Katanya, adalah menjadi rutin bagi BNM yang sentiasa mengikuti aliran keluar masuk wang ke dalam negara. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE