Hanifuddin Roslan kini secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), berkuat kuasa pada 2 Januari 2025. Pelantikan beliau menggantikan Datuk Mohd Ajib Ismail, yang sebelum ini memegang jawatan tersebut sejak 20 April 2018 hingga 29 Oktober 2024.
Mohd Ajib kini meneruskan khidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula 30 Oktober 2024.
JAWI, melalui kenyataan di Facebook, menyampaikan ucapan tahniah kepada Hanifuddin yang sebelumnya memegang jawatan Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI sejak 24 Ogos 2020.
“Seluruh warga JAWI merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Hanifuddin Roslan atas pelantikan sebagai Pengarah JAWI. Ahlan Wasahlan (selamat datang) dan semoga dengan kedatangan pengarah baharu di tahun baharu 2025, JAWI akan terus komited dan cemerlang dalam pengurusan hal ehwal Islam,” jelas kenyataan itu.
Pelantikan ini diharapkan membawa pembaharuan dan kejayaan dalam usaha memperkukuhkan pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan. Tahniah diucapkan kepada Hanifuddin atas amanah besar ini. – JURNAL