Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan desus-desas kononnya hubungan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang bermasalah.
Hamzah berkata, dia dan Muhyiddin baik-baik sahaja, sekaligus menepis dakwaan beliau bakal mencabar Muhyiddin dalam pemilihan parti sehingga berlaku perpecahan dalaman.
“Siapa yang cakap? Dalam mesyuarat kami terdiri Presiden (BERSATU), Timbalan Presiden dan saya Setiausaha Agung baik saja. Tidak ada masalah,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana anjuran Perikatan Nasional (PN) di Dataran Purnama semalam, Hamzah menjelaskan tidak timbul langsung parti itu sedang berantakan kononnya bakal bertanding merebut jawatan Presiden BERSATU yang kini disandang Muhyiddin.
Dengan penafian itu, beliau berkata dakwaan yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu hanya sebuah cerita rekaan semata-mata.
“Ini mesti ada orang luar yang nak buat cerita bukan-bukan. Tak ada pun cerita tentang (saya nak bertanding jawatan Presiden) sebab pemilihan lagi 18 bulan. Apa hal nak cerita pasal perpecahan?
“Tidak ada. Saya Setiausaha Agung, Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden. Dia lantik saya sebagai Setiausaha Agung. Pasal apa nak (berlaku) perpecahan? Kalau saya tak suka dia saya berhenti. Kalau dia tak suka saya dia pecat saya.
“Adakah perkara itu berlaku? Apa hal ini buat cerita yang bukan-bukan. Sebab itu kita tengok rakan-rakan (dalam BERSATU) semua kami bersama, baik saja,” kata Ahli Parlimen Larut itu.
Menurut laporan BH yang memetik FMT pada bulan lalu, Hamzah antara disebut sebagai pencabar utama jawatan tertinggi itu sekiranya Muhyiddin selaku Presiden memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
Memetik sumber BERSATU, Muhyiddin kemungkinan berundur daripada bertanding sebarang jawatan dan hasratnya itu juga sudah lama dimaklumkan kepada kepimpinan parti.
Sumber sama berkata, Hamzah mempunyai sokongan cukup kuat dalam kalangan ahli BERSATU untuk memimpin parti berkenaan.
Pada Mei lalu, pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Bahagian BERSATU ditangguhkan hingga 18 bulan bagi memberi ruang untuk menghadapi PRN.
Bagaimanapun, penangguhan itu tidak termasuk pemilihan peringkat cawangan. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE