Seorang lelaki dari Pasir Gudang kini menjadi pemilik baru jam tangan mewah berjenama Rolex yang dibuka untuk bidaan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pada Isnin lalu.
Berita tersebut dikhabarkan Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menerusi laman sosial X pada Rabu.
SEUTAS ROLEX UNTUK PALESTIN BERTUKAR PEMILIK
Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang “Hamba Allah” daripada Pasir Gudang,… pic.twitter.com/7degR9hzwC
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) November 1, 2023
Menurut Zulkifli, lelaki tersebut telah membida jam tangan pemberian Raja Saudi itu dengan harga RM135,000.
“Alhamdulillah, telah sempurna penyerahan jam Rolex saya yang merupakan derma kurnia Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz Alsaud hafizahullahu ta’ala kepada pemilik baharunya, seorang Hamba Allah daripada Pasir Gudang, Johor.
“Saya tanya kepada beliau: ‘Mengapa terdetik untuk membida dengan nilai RM135,000 pada 7 minit terakhir sebelum ditutup pada jam 12 tengah malam semalam?’
“Pembida ini sebak dan kemudiannya menangis. Jawapannya kerana ia adalah derma kurnia Raja Arab Saudi, milik saya, dan demi Palestin,” kata Dr Zul.
Melanjutkan perkongsian, Dr Zul yang dalam perjalanan ke Abu Dhabi bagi menghadiri mesyuarat tahunan bersama Syeikhul Azhar bakal singgah sebentar ke Jordan untuk menyerahkan sendiri wang berjumlah RM100,000 kepada pelarian Palestin di Amman, melalui Muslim Care Malaysia.
“Baki RM35,000 akan diserahkan bermula esok kepada 8 NGO terpilih iaitu MERCY Malaysia, Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aqsa Syarif, PAS Relief, MAPIM, Aman Palestin dan MyFundAction,” katanya lagi.
Terdahulu, Zulkifli menerusi hantaran di FB dan IG menceritakan kisah di sebalik jam berkenaan yang dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.
Menurut Zulkifli, jam itu dihadiahkan sebagai cenderamata buatnya.
Katanya, kotak jam itu hanya dibuka selepas meletak jawatan sebagai Menteri pada 2021. – JURNAL