Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi, hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan kes samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berhubung dakwaan salah guna jawatan awam.
Pada awal prosiding, Azizah yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan bersidang bersama-sama Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fong, mendedahkan suaminya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman yang kini sudah bersara, pernah berkhidmat di bawah Tommy di Jabatan Peguam Negara.
Peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, kemudian memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan arahan lanjut daripada bekas Perdana Menteri itu susulan pendedahan berkenaan.
Selepas mahkamah bersidang semula kira-kira 10 minit kemudian, Firoz Hussein memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak guam ialah supaya Azizah menarik diri daripada panel berkenaan.
Hakim itu kemudian memutuskan menarik diri daripada mendengar rayuan terbabit.
“Saya bercadang menarik diri daripada mendengar kes ini kerana suami saya (berkhidmat) secara terus di bawah responden (Thomas).
“Asas kepada penarikan ini adalah kerana kes membabitkan kepentingan awam, jadi adalah lebih baik kita mempunyai standard yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Tommy yang diwakili peguam Alan Gomez memberitahu mahkamah, pihaknya tiada bantahan bagi Azizah terus mendengar rayuan itu dan mahu plaintif (Najib) menyatakan alasannya.
“Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini. Saya tidak nampak ada alasan akan berlaku bahaya berat sebelah,” katanya.
Pada 25 November tahun lalu, Tommy berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan saman yang difailkan Najib berhubung dakwaan bekas peguam negara itu menyalahguna kuasa untuk mengemukakan pendakwaan membabitkan skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache ketika membenarkan permohonan itu berkata, saman Najib selaku plaintif tidak boleh dipertahan dan tiada sebab tindakan yang munasabah.
Dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib mendakwa dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kes pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Najib dengan itu memohon perisytiharan Tommy melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terbabit. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE