Seorang hakim persekutuan telah menggugurkan tuduhan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang didakwa secara haram cuba membatalkan keputusan pilihan raya 2020. Keputusan ini dibuat selepas Pendakwa Raya Khas, Jack Smith, memohon pertuduhan itu digugurkan, dengan alasan dasar Jabatan Kehakiman yang melarang pendakwaan terhadap presiden yang sedang berkhidmat.
Hakim Tanya Chutkan bersetuju dengan permohonan itu tanpa prejudis, bermakna tuduhan tersebut boleh difailkan semula selepas Trump menyelesaikan penggal keduanya sebagai Presiden AS.
Jack Smith juga memohon pengguguran kes lain yang mendakwa Trump menyimpan dokumen sulit secara tidak wajar. Namun, beliau menegaskan keputusan ini tidak mencerminkan kekuatan kes.
“Keputusan ini tidak berdasarkan merit atau kekuatan kes terhadap defendan,” katanya dalam pemfailan enam muka surat.
Selepas meninggalkan White House pada Januari 2021, Trump menjadi bekas presiden pertama dalam sejarah AS yang menghadapi pendakwaan jenayah. Beliau sebelum ini disabitkan kesalahan berkaitan pembayaran kepada pelakon filem dewasa, Stormy Daniels.
Pada awal tahun ini, Trump menghadapi hampir 100 tuduhan jenayah termasuk kes pilihan raya dan dokumen sulit. Walau bagaimanapun, Mahkamah Agung pada musim panas lalu memutuskan bahawa bekas presiden tidak boleh didakwa kerana kedudukannya.
Trump, yang kini kembali ke arena politik dan memenangi pilihan raya baru-baru ini, berjaya melepasi hampir semua tuduhan terhadapnya. Dia juga kekal menegaskan dirinya tidak bersalah dalam semua kes yang dikenakan. – JURNAL
Sumber: BBC